SEOUL:
Samsung Electronics Co Ltd akan mula menjual versi diperbaharui telefon pintar
Galaxy Note 7 di Korea Selatan pada 7 Julai ini. Telefon pintar itu akan
menggunakan bateri berbeza daripada sebelum ini yang menyebabkan model telefon
berkenaan terbakar tahun lalu.
Dalam
satu kenyataan hari ini, Samsung memaklumkan ia akan menawarkan 400,000 telefon
yang dikenali Galaxy Note 7 Fan Edition, di negara asalnya pada harga 699,600
won (AS$611), kira-kira 30 peratus lebih rendah berbanding harga pelancaran
asal Note 7 itu.
Bateri
bagi peranti yang diperbaharui itu akan mempunyai kapasiti lebih rendah
berbanding Note 7 yang asal, tetapi mendapat kelulusan keselamatan baharu yang
dikenakan berikutan panggilan semula sebelum ini. Pengeluar telefon pintar
terbesar dunia dari segi jumlah itu terpaksa menghentikan penjualan Note 7 pada
Oktober tahun lalu, kira-kira dua bulan selepas pelancarannya, berikutan bateri
yang mudah terbakar dari dua pembekal yang berbeza. Insiden itu menjejaskan
Samsung lebih AS$5 bilion dalam keuntungan operasi dan merosakkan reputasinya,
meskipun firma itu pulih dengan pelancaran Galaxy S8 yang berjaya.
Awal
tahun ini, firma itu menyatakan ia merancang menjual Note 7 yang diperbaharui
selepas penyiasatan oleh Samsung dan firma bebas menyimpulkan bahawa bateri
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebakaran. Samsung juga merancang untuk
mengadakan acara pelancaran bagi Note 8 pada separuh kedua Ogos, kata sumber
kepada Reuters bulan lalu. Firma itu berkata, ia akan memutuskan sama ada untuk
menjual Note 7 yang diperbaharui di pasaran lain pada masa akan datang. Ia
mengatakan bahawa ia tidak merancang untuk menawarkan peranti itu di Amerika
Syarikat (AS) atau India.
No comments:
Post a Comment