
BARCELONA: Jurulatih baharu Barcelona, Ernesto Valverde menolak idea untuk membawa masuk pemain baharu apabila berkata, pemain terbaik yang perlu ditandatanganinya adalah mereka yang berada dalam bilik persalinan.
"Saya sangat gembira dengan apa yang sudah ada ketika ini," katanya ketika ditanya soalan mengenai potensi Barcelona menandatangani pemain tengah Paris Saint Germain, Marco Veratti.
"Saya gembira dengan pemain yang ada, gembira dengan kerja keras dan sikap mereka. Saya tidak kisah mengenai pemain di kelab lain walaupun mungkin kamu merasakan kami perlu ada pemain tambahan untuk beberapa posisi."
"Bagi saya, pemain terbaik yang perlu ditandatangani adalah pemain yang saya sudah ada dalam pasukan."
Katanya, Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar mampu menjadi ancaman besar kepada pencabar mereka.
"Messi seorang pemain yang unik dan tidak kira posisi apa pun saya letakkan, dia akan melaksanakan tugasnya dengan baik. Dia akan terus memainkan peranan sama yang dilakukannya sekarang," katanya.
Sejak dua musim lalu, jurulatih Barcelona sebelum ini, Luis Enrique mengalami perselisihan faham dengan Messi apabila dia meletakkan pemain itu bermain dari bawah dan menyerang dari bahagian kanan.
"Kami perlukan dia di kedua-dua posisi berkenaan kerana dia mampu mencipta peluang yang mana dia akan membawa perbezaan dalam corak permainan kami.
"Untuk Neymar, dia melaksanakan tugasnya dengan baik ketika ini biarpun kami tahu dia boleh memainkan peranan di posisi lain," kata bekas jurulatih Athletic Bilbao itu.
Barcelona akan bermain menentang Juventus, Manchester United dan Real Madrid dalam siri jelajah mereka di Amerika Syarikat, minggu depan. - AFP
No comments:
Post a Comment